Kabinet baru positif - Dr. M  

Posted by KaMëàN

KUALA LUMPUR 9 April - Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan barisan Kabinet yang baru dilantik sebagai positif dan bukti 'pembersihan dalam parti' sedang berlaku.

"(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bertindak bijak dengan menggugurkan kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan rasuah walaupun seorang dua entah kenapa turut terselit," katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini di Tingkat 86, Menara Petronas.

"Ianya positif. Tak ada orang yang jelas terlibat rasuah terpilih khususnya Ketua Pemuda yang didapati bersalah guna wang dalam pemilihan (UMNO). Dia tak diberi apa-apa jawatan pun. Itu satu bukti Najib ingin bersihkan parti.

"Ini satu pendirian yang tegas oleh Datuk Seri Najib. Oleh itu saya berasa kalau dia dapat beri pendirian yang tegas dalam perkara ini, perkara lain juga dia akan mempunyai pendirian yang tegas," katanya.

Dr. Mahathir juga berkata, jika beliau boleh mempengaruhi keputusan Najib, beberapa orang yang dilantik juga tidak akan berada dalam Kabinet.

Mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata: "Saya fikir dia memang layak dilantik kerana setakat yang saya tahu dia tak guna wang untuk dapat sokongan." - Bernama

This entry was posted on 09 April 2009 at 6:30 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 Comments

Post a Comment