Rossi, Lorenzo bawa nama Petronas  

Posted by KaMëàN

KUALA LUMPUR - Selepas berjaya menjadi rakan penaja premium beberapa pasukan perlumbaan bermotor terutama Formula Satu, kini Petronas mengorak langkah dengan mengembangkan sayap jenama mereka ke arena Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) pula.

Semalam, Petronas menandatangani perjanjian dengan Yamaha Motor Co. Ltd untuk tempoh tiga tahun bagi menjadi rakan penaja rasmi dan premium pasukan Fiat Yamaha.

Melalui perjanjian itu, pasukan Fiat Yamaha akan memaparkan jenama Petronas pada semua seragam pasukan tersebut termasuk pada jentera dan peralatan pelumba Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo.

Kedua-dua pihak juga akan berkerjasama untuk menjayakan kejuaraan motosikal di rantau Asia Pasifik bagi tempoh lapan tahun.

Malah, perjanjian itu juga bakal merealisasikan pembangunan dan penghasilan minyak enjin Yamalube untuk semua jentera pengilang peralatan tulen (OEM) Yamaha.

"Ini merupakan perkembangan yang menarik untuk Yamaha dan juga MotoGP. Yamaha dan Petronas sudah mempunyai pertalian perniagaan sebelum ini namun usaha ini akan memperkuatkan hubungan sedia ada.

"Lebih-lebih lagi, ketika keadaan ekonomi global yang tidak menentu ini, kami berterima kasih kepada Petronas yang membuat keputusan bersama-sama kami," kata Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis.

Penggunaan jenama Petronas pada pasukan Fiat Yamaha akan mula dipakai hari ini ketika pelumba mengadakan sesi ujian bebas menjelang musim pembukaan perlumbaan malam MotoGP di Qatar, Ahad ini.

This entry was posted on 09 April 2009 at 6:50 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 Comments

Post a Comment